REVOLUSI HIJAU KELESTARIAN ALAM SEKITAR
Sarjana Sains
Penyelidikan (Sains Persekitaran & Teknologi)
Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi
MARA (UiTM), Shah Alam.
Revolusi hijau Kelestarian
Alam Sekitar atau dalam bahasa inggerisnya adalah Green Revolution
Environmental Sustainability (GRES) merupakan salah satu perkara yang boleh
menyebabkan perubahan besar yang berlaku secara mendadak kepada dunia pada masa
kini. Akan tetapi sejauh manakah pemahaman GRES ini dalam kalangan
masyarakat dunia? Apakah dengan melaungkan konsep ini, maka bumi akan pulih
daripada pencemaran yang saban hari semakin berleluasa peningkatannya?
Konsep GRES bukan asing lagi kepada masyarakat
umum, baik di dalam negara mahupun di luar negara. Cuma lewat ini, konsep GRES
menjadi topik yang perlu dibincangkan demi melestarikan alam sekitar sejagat
khususnya di Malaysia. Untuk pengetahuan umum, negara Malaysia merupakan salah
satu negara yang mempunyai kepelbagaian sumber terutamanya hasil bumi dan
galian yang banyak untuk digunakan oleh masyarakat sejagat pada masa hadapan.
Namun begitu, masalah alam sekitar terutamanya pencemaran
air dan sisa buangan masih lagi berleluasa dan harus diberikan penekanan yang
mendalam, dalam mendidik masyarakat di Malaysia terutamanya pendedahan awal isu
alam sekitar ini kepada murid – murid di bangku sekolah lagi. Sehubungan dengan
itu, pendedahan ini dapat diterapkan oleh guru – guru kepada murid – murid
melalui 17 matlamat pembangunan mampan atau dalam erti kata lain The
Sustainable Development Goals (SDG) yang telah diperkenalkan oleh United
Nations Members States (2015) bagi mencapai agenda kelestarian alam
sekitar ini pada tahun 2030 nanti.
Oleh itu, bagi merialisasikan agenda kelestarian alam
sekitar ini, kepelbagaian pihak terutamanya sektor pendidikan, sektor
teknologi, dan sektor industri haruslah memainkan peranan masing – masing dalam
menangani isu ini. Sebagai contohnya sektor pendidikan, perlu merangka satu
program khusus kepada murid – murid antaranya program projek tahunan seperti Global
Green Revolution, Go Green & Tree Planting, dan environmental
education agar mereka tidak sekadar terhenti di bangku sekolah, tetapi
dilanjutkan ke peringkat pendidikan yang lebih tinggi.
Manakala,
sektor teknologi pula perlu menjayakan penyelidikan yang berskala besar yang
boleh diaplikasikan secara nyata bagi menangani masalah pencemaran alam sekitar
ini terutamanya pencemaran air dan sisa buangan. Misalnya, ahli teknologi atau
penyelidik melalui ciptaan dan kajiannya mampu untuk menyelesaikan masalah
pencemaran alam sekitar ini. Seterusnya, sektor industri pula haruslah
memainkan peranan penting dalam menangani isu ini terutamanya sisa bahan buangan
air mahupun sisa pepejal ke sungai. Sektor ini perlu memikirkan strategik dan
membuat perancangan yang baik dengan berpandukan undang – undang yang
ditetapkan oleh kerajaan Malaysia, terutamanya dibawah Jabatan Alam Sekitar.
Pemahaman
Sebagai orang awam khususnya di Malaysia, sumbangan kita
boleh bermula sekecil – kecil usaha yang ada di dalam diri kita semua seperti
mengitar semula, menggunakan produk mesra alam, bergotong – royong, membeli
produk tempatan bagi mengelakkan penghasilan gas rumah hijau, memastikan suis
elektrik apabila peralatan tidak digunakan dan menanam semula pokok – pokok
bagi mewujudkan persekitaran hijau setempat.
Dalam menghayati intipati revolusi hijau kelestarian Alam
Sekitar, kita perlu ada pemahaman yang bukan sahaja sekadar dipupuk di bangku
sekolah, malahan sebolehnya ianya perlu di pupuk sejak bermula dari rumah
sendiri lagi.
Pembudayaan penjagaan alam sekitar yang mudah seperti
pengurusan air dan tenaga yang baik, pengurusan sisa pepejal yang betul serta
sifat bersederhanaan dalam setiap aspek kehidupan walaupun dasarnya sedikit,
mampu memberikan impak yang besar ke atas alam sekitar dan dunia.
Sebagai contohnya, apabila penjimatan air dan elektrik
dilaksanakan di rumah, maka pembaziran air dan elektrik dapat dikurangkan.
Lantaran itu, penggunaan air dan elektrik yang berhemah membolehkan simpanan
air dan tenaga elektrik dapat dilestarikan dan kita sebagai pengguna mendapat
belakan air dan tenaga yang mencukupi.
Sehubungan dengan adanya kesedaran akan pemeliharaan
sumber air ini juga, maka sungai yang membekalkan air bersih akan kurang
tercemar dek pembuangan sisi pepejal. Oleh itu, dengan peningkatan kualiti air
sungai yang baik, maka hidupan akuatik akan terpelihara dan bebas daripada
kepupusan untuk jangka masa yang panjang disamping habitatnya tidak terjejas.
Kesannya bekalan air mentah tidak akan mengalami ganguan secara total
dan berterusan.
Bagaikan kesan domino, apabila bekalan air tidak
terganggu, implikasi ke atas sosio ekonomi setempat turut dapat berfungsi dengan
sempurna. Dalam erti kata lain, pulihnya alam sekitar kita adalah dengan
kerjasama erat yang berterusan daripada segenap lapisan masyarakat. Anda hanya
segelintir yang memainkan peranan, maka proses untuk memulihkan alam sekitar
ini akan jadi laksana usaha yang berjaya bak kata pepatah anda mampu sekiranya
anda mahu.
Akhir kata, penulisan ini sekadar refleksi dan pandangan
untuk masyarakat di luar sana agar cakna tentang alam sekitar khusunya di
negara kita. Sekadar refleksi – pandanglah sekeliling, tanyalah diri anda
sendiri. Sejauhmanakah objektif dan pemahaman anda terhadap revolusi hijau
kelestarian alam sekitar ini?
Comments
Post a Comment